Jambatan kedua Pulau Pinang akan menjadi yang terpanjang di dunia selain yang pertama menggunakan teknologi mampu menyerap gegaran gempa, kata Pengurus Bahagian Pembinaan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), Zulkipli Nasri.
Beliau berkata produk penahan gempa tersebut dikenali sebagai Galas Getah Redaman Tinggi (HDRB) melalui penggunaan sistem pengasingan seismik yang berkesan berupaya melindungi struktur jambatan daripada kerosakan jika terjadi gempa bumi.
Bercakap kepada Bernama semasa sesi lawatan ke projek jambatan itu di sini Rabu, Zulkipli berkata HRDB itu adalah produk yang direkabentuk oleh Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARRC) di United Kingdom, sebuah makmal milik Lembaga Getah Malaysia (LGM).
Beliau berkata produk itu yang dihasilkan sepenuhnya di dalam negara dipasang pada setiap dek jambatan itu adalah peralatan inovatif melindungi bukan sahaja struktur tetapi juga isi kandungan dalam struktur.
“Kami percaya teknologi ini akan digunapakai dalam pembinaan jambatan lain di dalam dan luar negara,” katanya.
Jambatan kedua tersebut berharga RM4.5 bilion sejauh 23.5 km dengan 16.9km struktur marin dibina bersama oleh UEM Builders Bhd dan CHEC Pembinaan (M) Sdn Bhd mulai tahun 2008 dijangka siap sepenuhnya pada September 2013.
Apabila siap nanti ia akan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang berlaku di negeri ini. Jambatan itu yang juga terpanjang di Asia Tenggara, menghubungkan Batu Maung di bahagian pulau dengan Batu Kawan di bahagian tanah besar.
Zulkipli berkata berdasarkan prestasi terkini, pihaknya menyasarkan pencapaian kemajuan keseluruhan projek melebihi 90 peratus pada akhir tahun ini. Katanya, melihat pada kesungguhan pihak kontraktor melaksanakan pembinaan, jambatan mungkin dapat disiapkan dua bulan lebih awal daripada jadual.
“Kemajuan pembinaan sedikit sebanyak dipengaruhi faktor cuaca dan sekiranya keadaan mengizinkan, saya yakin projek akan siap lebih awal kerana setakat ini kemajuan telah 3.15 peratus mendahului jadual.”
Post a Comment
Kindly Leave Your Comment Here..=)