QUEENSTOWN: Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) yang juga suami kepada penghibur nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin cedera apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan jalan raya di salah sebauh bandar New Zealand itu pada Khamis.
Datin Zaiton Mohamad Jiwa, adik kepada datuk K , berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang rakan Datuk K yang berada bersama usahawan itu di negara tersebut kira-kira pukul 1 tengah hari Khamis (5 petang waktu New Zealand).
Katanya akibat kemalangan itu Datuk K mengalami patah bahu, cedera pada tangan serta kaki. Bagaimanapun keadaannya stabil dan tidak membimbangkan.
“Saya terkejut dengan berita itu dan akan berangkat ke sana pada esok (Jumaat) bersama Siti dan seorang lagi rakan. Siti sekarang ini berada di Banjarmasin, Indonesia untuk mengadakan konsert.
“Beliau terpaksa membatalkan konsert itu,” katanya kepada wartawan ketika di hubungi di sini pada Khamis.
Zaiton berkata, Datuk K berada di New Zealand atas urusan perniagaan dan beliau menghabiskan masa petangnya di bandar Queenstown dengan menunggang motosikal sebelum terjadinya kemalangan.
Bagaimanapun Zaiton tidak mendapat gambaran jelas bagaimanakah kemalangan itu berlaku.
Sementara itu Siti Nurhaliza yang akan mengadakan konsert terakhirnya iaitu Konsert Ekspresi Karya Gemilang pada malam Khamis terpaksa membatalkan persembahan tersebut.
Siti menerusi akaun Twitter miliknya memohon maaf kepada seluruh peminatnya di Banjarmasin kerana kejadian berkenaan.
“Salam… maaf buat semua peminat di Banjarmasin serta semua “team” konsert, CT (Siti) tidak dapat ke sana kerana ada sesuatu yang tak terduga. Mohon memahaminya,” kata Siti menerusi Twitter miliknya.
Post a Comment
Kindly Leave Your Comment Here..=)