Bagi anda yang menonton video debat di antara Ketua Pemuda UMNO ,Khairy Jamaludin Dan Pengarah Strategik PKR , Rafizi berkaitan isu PTPTN tetapi masih tidak faham, anda boleh baca teks debat antara mereka yang disediakan oleh akhbar Sinar Harian .
Video Debat PTPTN Khairy Jamaludin Dan Rafizi
Debat bertajuk Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi yang berlangsung di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, malam Selasa lalu berlangsung hangat dengan menemukan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli.
Debat yang dipengerusikan oleh Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik berjaya mengawal kira-kira 500 hadirin yang dibawa secara langsung melalui Astro Awani, Tv Internet, The Malaysian Observer dan Bernama Radio 24.
RAFIZI: Isu penghapusan PTPTN dan cadangan untuk mengembalikan pendidikan tinggi adalah satu pilihan yang perlu dikaji secara mendalam dan menyeluruh oleh rakyat Malaysia kerana isunya bukan hanya menghapuskan hutang penuntut sahaja, tetapi merangkumi kedudukan ekonomi dan keberdayaan negara di masa akan datang.
Sehubungan itu, perlunya merujuk kepada pengalaman negara yang berdepan dengan masalah hutang penuntut, contohnya negara yang rata-rata memperdagangkan pendidikan, iaitu Amerika Syarikat sekarang ini berhadapan dengan hutang yang sebegitu besar.
Sekarang ini, hutang penuntut yang sama dengan tabung PTPTN di Amerika Syarikat mencecah RM2.6 trilion dolar, kerana itu Bank Pusat New York berkata, hutang ini sekiranya tidak ditangani dengan baik adalah salah satu ancaman kepada ekonomi dunia yang terbesar.
Dewan Senat Amerika Syarikat sedang membahaskan rang undang-undang untuk hapuskan hutang penuntut, bukan sahaja di Malaysia, malah di negara lain turut diperdebatkan. Makanya, isu PTPTN perlu dikupas dengan secara mendalam dalam perspektif ekonomi terlebih dahulu.
Daripada 1997 hingga 2010, pada kadar 10 peratus sahaja kutipan PTPTN, daripada RM26 bilion yang diagihkan, hanya RM2 bilion yang berjaya dikutip semula.
PROMOSI!!! Tempah Design Banner, Flyers, Bunting Serendah RM 20 SAHAJA!!
Pada kadar kutipan 10 peratus ini, dalam satu jangka masa akan datang, kemungkinan 5 hingga 10 tahun akan datang, hutang ini akhirnya terpaksa ditanggung oleh kerajaan dan rakyat.
Hujah ekonomi juga berkait rapat dengan hujah sosial dan hujah moral kerana graduan yang sudah bekerja agak liat atau tidak mampu membayar kerana keadaan ekonomi negara dan dunia, dengan gaji yang tidak meningkat, dengan kos sara hidup yang naik mencanak, maka mereka tidak mampu membayar hutang meskipun pelbagai tindakan yang diambil oleh PTPTN, kadar kutipan tidak pernah melangkau 10 peratus.
Hakikatnya, negara ini bermula dengan menawarkan pendidikan percuma seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara akan hak Bumiputera untuk mendapatkan biasiswa pendidikan. Malah, generasi terdahulu juga menikmati pendidikan tinggi percuma.
KHAIRY: Debat malam ini berpunca sebenarnya kerisauan Pakatan Rakyat (PR) akan sokongan orang muda terhadap mereka yang semakin merudum dan ini boleh dilihat daripada keputusan- keputusan Pilihan Raya Kecil selepas Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.
Cadangan pemansuhan ini telah diangkat oleh PKR tanpa persetujuan PR dan tidak dinyatakan dalam Buku Jingga.
Dalam Buku Jingga tidak sebut penghapusan PTPTN, hanya menyebut memansuhkan caj 1 peratus sahaja. Rafizi cuba membuat perbezaan epal dan rambutan, di mana zaman arwah bapa saya pergi ke universiti, hanya 1 IPTA di Malaysia, itu pun Universiti Malaya di Singapura . Hari ini, negara kita mempunyai 20 IPTA, 180 ribu masuk IPTA setiap tahun, malah ribuan lagi dihantar biasiswa di luar negara. Justeru, jangan buat perbandingan epal dengan ambutan kerana tidak lagi relevan.
Ini soal masa depan dan kematangan dan libatkan kos sebenar yang perlu ditanggung oleh Kerajaan PR, sekiranya mereka menang.
Membatalkan hutang PTPTN, bukannya RM23 bilion dan saya periksa jumlahnya yang terkini adalah RM30 bilion, bina 10 universiti baru, kos pembinaannya adalah RM2 bilion berdasarkan saiz dan kos pengurusan universiti contohnya seperti USM, RM31 bilion. Kalau namanya Keadilan, PR perlu hapuskan hutang Mara dan Yayasan sekali.
Merujuk kepada janji-janji PR dalam Buku Jingga untuk membuktikan pemansuhan PTPTN dan janji-janji lain yang akan membankrapkan negara seperti yang berlaku di Greece.
Ini kerana negara dan rakyat terpaksa memikul beban perbelanjaan RM170 bilion setiap tahun jika PTPTN dan subsidi serta pinjaman lain seperti konsesi tol dimansuhkan sama sekali.
Itu sahaja sudah RM170 bilion, campur dengan RM18 bilion cadangan hapuskan PTPTN dan pendidikan percuma, jumlahnya RM188 bilion setahun. Belanjawan kita tahun ini RM233 bilion. Tolak RM188 bilion, tinggal RM45 bilion. Hendak bayar gaji kakitangan awam pun RM52 bilion.
Bayar gaji pun tidak mampu, negara kita akan muflis.
RAFIZI: Kalau hendak melihat kosnya untuk menyediakan pendidikan tinggi percuma, lihat kepada kos anggaran kepada perbelanjaan yang dibentangkan oleh Parlimen.
Setiap tahun, 21 universiti diberi geran RM7.5 bilion, di mana setiap penuntut berjumlah RM16,000. Kita dah semak, untuk PR memberikan pendidikan dan yuran percuma kalau sudah RM16,000 sudah 90 peratus daripada kosnya, maka kita hanya memerlukan RM562 juta tambahan dan jumlah itu boleh ditanggung.
Rancangan untuk memberi biasiswa sara hidup RM5,000 kepada setiap penuntut institusi pengajian tinggi awam berjumlah 450,000 orang hanya akan menelan kos RM2.32 bilion setahun.
Dengan menghapuskan RM24 bilion hutang melalui PTPTN pula, kerajaan hanya perlu membayar RM2 bilion untuk tempoh 15 tahun.
Khairy katakan, untuk membina satu universiti, kosnya RM2 bilion, kerana beliau memakai anggaran orang Umno, Datuk Saifuddin (Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi) boleh sahkan, Monash University buat kampus untuk menampung 5,000 pelajar pada 2007, belanja hanya RM200 juta, untuk 10,000 penuntut hanya RM400 juta.
Sekiranya dicampur semula, semua kos iaitu yuran percuma RM562 juta, elaun sara hidup RM2.32 juta, bina IPTA RM400 juta, hapuskan PTPTN RM2 bilion setiap tahun hanyalah RM 5 hingga RM6 bilion sahaja.
KHAIRY: Buat perbandingan dengan kampus Monash, bukanlah sebuah universiti IPTA dan tiada kelengkapan seperti IPTA. Sekiranya diambil Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai contoh dan perbandingan purata, 10,000 penuntut setiap tahun, perbelanjaan pengurusan yang didapati daripada Kerajaan Persekutuan adalah RM746 pada 2011 dan pada 2011, sebanyak RM586 juta.
Justeru, secara puratanya, untuk 10 buah universiti dalam tempoh 10 tahun kosnya adalah RM31 bilion.
Rafizi tidak sebut, untuk menampung yuran IPTS, dalam cadangan bagi yuran subsidi yuran yang sama dengan yuran kursus IPTS, yuran yang sama dengan IPTA.
Seramai 1.4 juta penuntut IPTS, 1.5 peratus mengambil kos perubatan, 13.4 peratus ambil kos kejuruteraan, 85 peratus ambil kursus lain. Jika nak bagi subsidi jumlahnya adalah RM60 bilion.
Unjuran yang diberikan Rafizi hanya RM5 bilion sedangkan unjuransaya adalah sebanyak RM18 bilion.
Inilah kesan kesan kepada kewangan negara kita, sekiranya polisi ini dilaksanakan dan yang dicadangkan oleh PR dan cadangan mereka yang lain dalam Buku Jingga akan boleh muflis negara dalam masa terdekat.
DR MASZLEE MALIK: Melihat isu PTPTN, isunya bukan pelajar tidak menjelaskan pinjaman, tetapi apa yang dilontarkan dalam media sosial.Golongan muda melihat ada hutang yang lebih besar diambil oleh pihak tertentu , tetapi tidak dikenakan tindakan di senarai hitamkan, hutang sikit itu salah, ambil duit rakyat yang banyak itu keistimewaan.
KHAIRY: Saya ingin jelaskan bahawa senario pelajar di saman dan tidak bayar balik pinjaman PTPTN secara total hanya enam peratus daripada jumlah peminjam. Manakala 94 peratus lagi, walau mempunyai kesukaran untuk membayar, peminjam dapat servis pinjaman mereka.
Yang jadi masalah, disenaraihitamkan dan disekat keluar negara semuanya hanya enam peratus sahaja.
Seolah-olah tidak bayar sebulan sudah di senarai hitamkan, saya mahu jelaskan bahawa tamat pengajian mereka, sehingga menerima notis yang pertama, adalah dalam tempoh enam bulan, Selepas itu notis pertama 60 hari, notis kedua 60 hari, notis ketiga 90 hari dan notis tuntutan daripada pihak peguam 90 hari dan failkan ke mahkamah adalah enam bulan. Sebelum kes dibawa ke mahkamah adalah 22 bulan untuk peminjam bayar hutang sepenuhnya.
Mereka sepatutnya berhubung dengan pegawai PTPTN bagi bayar pinjaman dengan skala kecil supaya akaun diaktifkan.
Syarikat Pengurusan Danaharta Nasional Bhd tidak mengalami kerugian dalam penyelesaian luar mahkamah melibatkan hutang RM589 juta yang ditanggung oleh bekas pengerusi eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Tan Sri Tajudin Ramli.
Selain itu, persoalan mengenai isu National Feedlot Corporation (NFCorp), Khairy berkata kerajaan juga serius dalam usaha untuk mendapatkan semula pinjaman mudah RM250 juta yang diberikan kepada syarikat ternakan lembu itu.
Perkara itu dapat dilihat dalam tindakan kerajaan mendakwa pengerusi syarikat tersebut, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail di mahkamah.
DR MASZLEE MALIK: Penghapusan PTPTN, bukan dasar PR hanya dasar PKR, adakah ini hanya langkah populis, untuk meraih undi golongan muda dan bagaimana pula kedudukan Anwar yang terlibat dalam penggubalan PTPTN.
RAFIZI: Dasar pendidikan percuma disokong sepenuhnya pimpinan PR malah hujah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri mahu PTPTN dimansuhkan lebih lantang daripada Anwar sendiri.
Tindakan Anwar selaku Pemangku Perdana Menteri pada tahun 1997 menyokong PTPTN dibuat secara “collective” (bersama) anggota jemaah menteri lain dalam Parlimen.
Yang kedua, semasa PTPTN digubal tahun 1997 tujuannya mengikut hanset yang disebut Datuk Seri Najib Razak di Parlimen adalah bantu golongan mahu ke universiti. Tapi bukan menyemarakkan tumbuhnya institusi IPTS yang ada sekarang.
DR MASZLEE MALIK: IPTS yang terlalu banyak di negara ini banyak menerima natijah daripada pelaksanaan PTPTN. Namun, sekiranya PTPTN dimansuhkan, IPTS juga akan menerima kesannya.
KHAIRY: Melihat nilai amaun angka tidak menceritakan gambaran sebenar, Yuran lebih tinggi daripada IPTA. Yuran IPTA disubsidikan oleh kerajaan sebanyak 20 peratus sebagai tanggungjawab bersama untuk masa depan negara kita.
Pada tahun 2011, nilai pinjaman PTPTN diagihkan kepada IPTS adalah RM2.7 bilion, manakala bagi IPTA adalah RM2.2. bilion tetapi jumlah pelajar IPTA yang dibiayai oleh PTPTN adalah seramai 123,000 berbanding IPTS hanya RM76,000 sahaja.
DR MASZLEE MALIK: Idea memberikan pendidikan tinggi secara percuma, pastinya memberi kesan kepada negara, khususnya siapakah yang membayarnya. Persoalannya, adakah tindakan itu menyebabkan rakyat membayar cukai tinggi dan apakah PR mempunyai ‘blue print’ sendiri untuk pendidikan tinggi di masa akan datang.
RAFIZI: Saranan hapuskan pinjaman mampu dilaksanakan jika rasuah dapat dikekang dan ketirisan dikurangkan. Bila kita tengok kekayaan negara tiap-tiap tahun, kita ada RM181 bilion pendapatan. Kita pinjam RM40 bilion untuk dapat belanjawan yang saudara Khairy sebut menjadikan RM220 bilion.
Soalan: Apa nasib IPTS nanti di bawah kerajaan PR jika dilaksanakan pendidikan percuma?
RAFIZI: Tanggungjawab kerajaan adalah menyediakan tempat di institusi awam bagi setiap rakyat yang layak dan mereka dari pelbagai kaum bagi membolehkan mereka belajar di institusi yang disediakan itu adalah prinsip yang pertama.
Pada masa yang sama kita menghargai sumbangan IPTS, cuma apa yang kita tidak mahu adalah IPTS yang duduk di rumah kedai kerana belanjanya mahal, dan yuran yang dikenakan cukup tinggi dan membebankan pelajar, akhirnya kualiti, suasana pendidikan tidak ada. Siswazah yang keluar dari IPTS seperti ini selalunya sukar mendapat kerja dan mereka ini yang akhirnya terpaksa menanggung beban PTPTN yang tinggi. Kita mahu hanya IPTS berkualiti dan yang ada keistimewaan. IPTS seperti ini walaupun yurannya tinggi sekali pun siswazah akan memohon kerana kualiti, yang kita tidak mahu rakyat masuk ke IPTS kerana tiada tempat di IPTA. Kita tidak pernah akan diskriminasikan IPTS kita berjanji selepas gabung antara IPTS dilakukan seperti Universiti Petronas dan Universiti Tenaga Nasional bagi setiap pelajar yang masuk ke universiti ini mereka akan mendapat subsidi yuran sama yang dengan pelajar yang masuk ke IPTA.
Soalan: Apakah ada kelemahannya pendidikan tinggi di negara ini dan apa cara untuk memperbaikinya?
KHAIRY:
tenaga pengajar berkualiti agar pada 2015 kita mempunyai 18,000 tenaga akademik yang berkelayakan PHD. Ini adalah usaha memperbaiki sistem pendidikan negara, kita jangan lupa jangan hanya tertumpu kepada golongan terpelajar yang boleh memasuki universiti sahaja. Kerajaan kita menyediakan 90,000 tempat di kolej komuniti. Saya tahu Rafizi menghina kolej komuniti dengan mengatakan kolej yang berada di rumah kedai tiada siapa yang akan pandang, tetapi kebanyakan kolej komuniti termasuk di Parlimen saya di Rembau berada di rumah kedai, ramai yang datang mengatakan mereka adalah pelajar miskin dan tiada peluang kerana tercicir kini mempunyai peluang untuk menyambung pelajaran mereka.
Soalan: Hanya sebilangan kecil yang tidak membayar hutang PTPTN, oleh itu penambahbaikan PTPTN itu lebih baik daripada dihapuskannya?
RAFIZI: Jumlah hutang yang telah diluluskan sehingga 2011 adalah RM43 bilion dan jumlah yang dikutip adalah RM3 bilion. Manakala di Selangor dari 1997 hingga 2011 dan unjuran kita dengan peningkatan hutang sebanyak 11 peratus untuk pelajar IPTA dan 17 peratus untuk pelajar IPTS, dalam tahun 2020 tiap-tiap tahun PTPTN akan meluluskan pinjaman berjumlah RM24 bilion, dalam tahun 2020 jumlah pinjaman terkumpul yang diluluskan adalah RM177 bilion. Kalau dalam masa 15 tahun hanya RM3 bilion yang dikutip, apakah jaminan yang kita ada dalam lapan tahun akan datang ini kita boleh tampung RM177 bilion. Ini bukan soal hendak salahkan pelajar. Saya tidak salahkan kerajaan BN, sebab itu saya mahu kita lihat secara objektif. Masalah kita adalah kerangka dan gaya model pendidikan pengajian tinggi tidak mampat seperti yang berlaku di negara luar bila kadar bayar balik semula pelajar itu terlalu rendah oleh sebab-sebab ekonomi semasa, tiada kerja, kos sara hidup, gaji tidak naik akhirnya selepas 15 tahun negara juga yang terpaksa menanggung hutang RM177 bilion ini. Sebab itu kita sebut sekarang sebelum kita terjebak menjadi seperti Amerika Syarikat yang hutang pelajarnya mencecah RM2.6 trilion. Baik kita tukar model sekarang kerana pada kadar RM24 bilion hutang sekarang kita masih mampu menanggung RM2 bilion setiap tahun berbanding kita tunggu tahun 2020 nak tanggung hutang RM177 bilion maka benar apa dikatakan Datuk Seri Idris Jala jika kita tunggu negara akan bankrap. Ini soal kerangka ekonomi, oleh itu kita minta tukar model itu.
Soalan: Apakah rasional PTPTN membuat pinjaman pada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan beberapa bank yang lain bagi menampung kos mereka.
KHAIRY: Sewaktu PTPTN diluluskan yang dibentangkan dalam Parlimen oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu, dan ia diluluskan. Malah pembangkang terdiri daripada DAP turut meminta kerajaan menambah peruntukkan itu bagi menampung kos pembelajaran pelajar. Kita bagi geran kepada PTPTN, tetapi mendapati geran itu satu tanggungan kepada kerajaan. Maka kerajaan buat keputusan supaya dana diberikan PTPTN kepada pelajar ini dipinjam daripada institusi kewangan termasuk juga KWSP yang akan melabur. Kos pembiayaan pinjam PTPTN yang dibuat dengan bank komersial, institusi kewangan dan KWSP kadar bunga atau kos tersebut ditanggung kerajaan. Ini bermakna PTPTN tidak perlu membayar kos tersebut. Saya hendak cadang kepada kerajaan agar pinjaman dibuat pelajar harus dibayar tetapi kos pengurusan satu peratus itu kita mansuhkan.
PENGGULUNGAN
RAFIZI:
KHAIRY: Bercakap pasal kerangka ekonomi negara dicakap oleh Razifi, hutang yang akan meningkat 10 tahun yang akan datang bagaimana rakyat dan mahasiswa akan bayar hutang tersebut. Kalau kita tengok Amerika Syarikat tiada kerja, kos sara hidup naik, ekonomi gawat, akan berlaku di Malaysia juga. Ini adalah pengakuan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat bahawa mereka tidak boleh menjana ekonomi. Saya percaya dengan pelbagai program yang dibuat oleh kerajaan BN rakyat akan menerima faedah 3.5 juta pekerjaan baru. Malah pembangkang telah menyatakan bahawa mereka tidak yakin dengan polisi ekonomi mereka. Jika tidak yakin tidak dapat menjana ekonomi negara kita, negara akan muflis atas janji yang dibuat Pakatan Rakyat. Saya ingin ingatkan Rafizi, hari ini beliau menjanjikan pendidikan percuma saya ingin mengingatkan manifesto Kerajaan Selangor yang tidak dapat dilaksanakan jangan kita cakap universiti secara percuma, pendidikan pra sekolah kepada anak Selangor yang berusia 5 hingga 15 tahun masih tidak dapat dilaksanakan oleh mereka. Elaun khas kepada wanita yang bekerja di rumah tidak dapat dilaksanakan. Perkhidmatan perubatan di hospital kerajaan dan pengangkutan awam percuma tidak dapat dilaksanakan, malah banyak lagi tidak dilaksanakan oleh Kerajaan Selangor.
**salute dengan sesiapa saja yang taip balik ucapan ini. Semoga langkah yang pertama ini akan mengangkat rakyat Malaysia dari kepompong politik fitnah dan sempit yang dipaksakan ke atas mereka kepada politik yang lebih bertanggungjawab dan mengangkat martabat akal dan kemanusiaan.
Post a Comment
Kindly Leave Your Comment Here..=)