Home » , , » Terkini Dari Libya : Video Gaddafi Masih Hidup Semasa Ditangkap

Terkini Dari Libya : Video Gaddafi Masih Hidup Semasa Ditangkap

Written By HAZRIL HAFIZ on Friday, October 21, 2011 | 2:07 PM

 

 

SIRTE – Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mati akibat kecederaan semasa dia bertempur di bandar kelahirannya di sini semalam.

Gaddafi yang memerintah Libya sejak 1969 itu mati selepas ditangkap oleh kumpulan para pejuang yang menentang kepimpinannya sejak Februari lalu.

“Dia (Gaddafi) juga ditembak di kepala,” kata seorang pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan,(NTC) Abdel Majid Mlegta kepada agensi berita Reuters.

NTC merupakan badan yang memerintah Libya buat sementara waktu selepas Gaddafi melarikan diri ekoran kejayaan para pejuang yang menentang kepimpinannya memasuki ibu kota Libya, Tripoli lewat Ogos lalu.

“Terdapat banyak tembakan ke atas kumpulannya dan dia mati,” tambahnya.

Sebelum ini dia memberitahu bahawa Gaddafi yang berumur dalam lingkungan 69 tahun ditangkap dan mengalami kecederaan di kedua-dua kakinya pada Subuh semalam.

Ketika itu, dia sedang melarikan diri bersama sebuah konvoi semasa jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan serangan.

NATO mengambil alih operasi ketenteraan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melindungi orang awam pada 31 Mac lalu.

Sejak itu, jet-jet NATO mengendalikan serangan udara dan melaksanakan zon larangan terbang di Libya termasuk melaksanakan sekatan senjata menerusi rondaan di laut.

NATO mengesahkan semalam bahawa jet-jetnya telah mengebom satu konvoi ketenteraan dekat Sirte pada waktu pagi.

Namun, ia menyatakan adalah sukar untuk menyatakan sama ada serangan tersebut menyumbang kepada kemungkinan kematian Gaddafi.

Menurut Abdel Majid, Gaddafi telah dibawa keluar dari lokasi kejadian dengan menggunakan sebuah ambulans.

Menurut seorang pejuang anti-Gaddafi, bekas pemimpin itu ditemui bersembunyi di sebuah lubang saluran air dan berkata: “Jangan tembak, jangan tembak.”

Pejuang itu menyatakan bahawa Gaddafi membuat rayuan itu kepada sekumpulan lelaki yang berjaya menangkapnya.

Seorang pegawai NTC, Mahmoud Shammam memberitahu terdapat gambar yang menunjukkan kejadian penangkapan tersebut.

Ketua Tentera di Tripoli, Abdel Hakim Belhaj juga mengesahkan Gaddafi telah mati dibunuh.

“Dia sudah pun mati,” katanya kepada stesen televisyen Al-Jazeera.

Mayat Gaddafi itu dibawa ke sebuah lokasi yang dirahsiakan demi keselamatan, kata seorang lagi pegawai NTC.

“Mayat Gaddafi bersama dengan unit kami di dalam sebuah kereta dan kami membawa mayat tersebut ke sebuah lokasi rahsia atas alasan keselamatan,” kata pegawai itu, Mohamed Abdel Kafi.

Bagaimanapun, stesen televisyen Al Arabiya melaporkan bahawa mayat Gaddafi telah tiba di Misrata.

Stesen televisyen satelit Al- Jazeera me laporkan jenazah Gaddafi kemudian ditempatkan di sebuah masjid di bandar Misrata, barat daya Libya.

Stesen-stesen televisyen dan beberapa saluran lain menunjukkan imej askar-askar mengelilingi sebuah lubang paip besar di bawah lebuh raya iaitu lokasi tempat Gaddafi ditemui dan membuat rayuan supaya dia jangan ditembak.

Sementara itu, anak kelima Gaddafi, Moutassem dan bekas ketua perisikan Libya, Abdullah al-Senussi ditangkap semalam di pelabuhan Sirte.

Kedua-duanya dibawa dari Sirte ke Misrata yang terletak kira-kira 200 kilometer ke timur Tripoli.

Stesen-stesen televisyen di seluruh dunia menyiarkan Gaddafi selepas NTC menyatakan bahawa dia terbunuh.

Seorang pegawai NTC kemudian mengesahkan bahawa gambar tersebut adalah Gaddafi.

SEORANG penyokong Muammar Gaddafi ditangkap oleh para pejuang antipemimpin itu di tengah Sirte semalam.- Reuters


Gambar itu yang dipercayai dirakamkan menerusi telefon bimbit menunjukkan wajah yang pucat, berdarah dan mata hampir tertutup mirip Gaddafi.

Foto tersebut menunjukkan rambut kerinting halus dan struktur muka mirip Gaddafi.

Ketika gambar tersebut disiarkan, masih tidak jelas sama ada dia masih hidup atau cedera.

Foto tersebut menunjukkan terdapat darah dari bahagian mulutnya.

Adalah menjadi sesuatu kebiasaan bagi para pejuang Gaddafi merakamkan gambar di lokasi pertempuran.

Seorang lagi pegawai tentera Libya mengesahkan bahawa satu foto yang menunjukan seorang lelaki yang mirip Gaddafi mati itu dan disiarkan stesen televisyen Al-Jazeera adalah Gaddafi yang sebenar.

Pegawai itu iaitu anggota jawatankuasa keselamatan NTC di Tripoli, Kolonel Mostafa Noah berkata: “Ya, itu adalah betul.”

Bekas Menteri Pertahanan Libya, Abu Bakr Younis dilaporkan turut terbunuh di pelabuhan Sirte, menurut stesen televisyen Free Libya.

Stesen itu menunjukkan gambar Abu Bakr dengan kecederaan di bahagian dada.

Menurut laporan media, Abu Bakr mengiringi Gaddafi semasa dia terbunuh.

Gaddafi dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa berhubung dakwaan membunuh sejumlah orang awam.

Rejim pemerintahannya tumbang pada 23 Ogos lalu selepas memerintah selama 42 tahun di negara yang kaya dengan minyak itu.

Gaddafi menjadi pemimpin Libya selepas dia melakukan rampasan kuasa tentera semasa pemerintah Libya, Raja Idris mendapatkan rawatan perubatan di luar negara pada tahun 1969.

Ketika itu, Gaddafi merupakan seorang pegawai tentera Libya.

Kebangkitan di Libya untuk menumbangkan Gaddafi bermula di bandar Benghazi menerusi tunjuk perasaan penduduk yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya pada Februari lalu.

Tunjuk perasaan itu mendapat ilham daripada kebangkitan rakyat yang berlaku di Tunisia dan Mesir sehingga mengakibatkan kedua-dua pemimpin di negara berkenaan tidak lagi berkuasa.

Namun, tunjuk perasaan itu bertukar menjadi pertempuran dalam kalangan penduduk yang membentuk kumpulan pejuang menentang Gaddafi.

Kematian Gaddafi itu menyebabkan NTC kini menguasai sepenuhnya Libya selepas mereka bertempur selama lapan bulan.

– Agensi

Kongsi Cerita Ini Bersama Rakan

Post a Comment

Kindly Leave Your Comment Here..=)

Labels

TERKINI (173) ARTIS (116) TIPS BERGUNA UNTUK ANDA (85) DEDAH (74) FACT (70) DIARY (69) politik (69) INFO (66) Video (65) BERITA SUKAN (63) GOSIP TERKINI (44) HIBURAN (44) RENUNGAN (38) DESIGN (35) BLOG REVIEW (33) PRODUCT REVIEW (32) PENDIDIKAN (29) PANDUAN (28) tutorial (27) MAKLUMAN (26) TIPS BLOGGING (21) EVENT (20) Gadget (17) AGAMA (15) PERMOHONAN (15) HEADER DESIGN (12) CINTA (11) STATISTIK BLOG (6) SITEMAP (1)