KUALA LUMPUR, 9 Julai – Sementara Bersih 2.0 mengisytiharkan telah berjaya menarik kehadiran 50,000 peserta di sebalik halangan dan sekatan di seluruh negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, hanya sekitar 6,000 orang hadir di pusat ibu negara.
Ketika bercakap pada sidang media di Bukit Aman kira-kira 6 petang tadi, Ismail berkata, anggotanya telah bertindak secara profesional dalam mengawal pergerakan peserta perhimpunan hari ini.
“Jika ada dakwaan penganiayaan, buat laporan polis,” katanya.
Kata beliau, penunjuk perasaan hanya dapat berhimpun di kawasan Puduraya, Dataran Maybank dan di luar Stadium Merdeka – lokasi yang menjadi sasaran Bersih 2.0 untuk mengadakan perhimpunan menuntut pembaharuan pilihan raya adil dan bebas.
Ismail berkata setakat 6.40 petang tadi, seramai 1,401 orang ditahan termasuk 115 wanita, 12 budak lelaki dan seorang budak perempuan.
“Kesemua yang ditahan dilayan dengan baik... kami beri makanan,” kata Ismail.
Ketika ditanya Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa turut cedera dalam tindakan polis, Ismail berkata, “Anwar Ibrahim tidak berada di Puduraya... dia tidak ditahan.”
Dalam pada itu, laporan Bernama Online menyebut, mereka yang mengadakan perhimpunan sudah bersurai mulai 5 petang, namun polis masih berada di lokasi tertentu bagi memastikan keadaan kembali tenteram seperti sedia kala.
Menjelang 6 petang, beberapa kawasan yang sebelum ini sesak kerana menjadi tumpuan demonstrasi jalanan, menjadi lengang manakala lalu lintas kembali pulih apabila peserta demonstrasi meninggalkan lokasi tersebut.
Tinjauan mendapati polis masih meneruskan sekatan jalan raya di jalan utama menuju pusat bandar raya.
Ismail memberitahu keadaan sekitar bandaraya terkawal mulai 5 petang.
Bagaimanapun, beliau berkata polis akan memantau keadaan.
Di Stadium Merdeka, beberapa trak yang membawa anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat meninggalkan lokasi, manakala peserta perhimpunan sudahpun bergerak dari kawasan tersebut kira-kira 5 petang.
Premis perniagaan di sekitar Bintang Walk, Bukit Bintang kembali beroperasi sejak 3.30 petang manakala pelancong asing dilihat berada di kawasan yang menjadi tumpuan.
Post a Comment
Kindly Leave Your Comment Here..=)