Home » » Harry Potter And The Deathly Hallows - Part 2 Coming Soon

Harry Potter And The Deathly Hallows - Part 2 Coming Soon

Written By Hafiz Rahman on Wednesday, July 06, 2011 | 9:11 AM

LONDON: Filem terakhir Harry Potter akan ‘menyerang’ pawagam-pawagam di seluruh dunia minggu depan sekali gus menutup tirai francais yang membawa penonton kepada dunia khayalan melalui tujuh buah filem yang penuh aksi suspens, rasa cinta dan pilu.

"Harry Potter and the Deathly Hallows - Part 2" bakal menyaksikan bagaimana Potter menentang Lord Voldemort untuk kali yang terakhir.

Tayangan Perdana akan berlangsung di kota ini pada Khamis depan dan selepas itu menyusuri pawagam di seluruh dunia pada minggu-minggu berikutnya.

Bintang-bintang utama filem tersebut akan disambut dengan hamparan karpet merah di sini. Siri francais filem Harry Potter adalah berdasarkan tujuh novel fiksyen karya J. K. Rowling. Kesemua filem berkenaan telah mengutip hasil jualan tiket berjumlah AS$6.4 bilion (RM19.2 bilion) di seluruh dunia.

Pemegang watak utama siri filem berkenaan, Daniel Radcliffe, yang sedang berlakon teater muzikal Broadway telah mengambil cuti pendek untuk sekali lagi bersama-sama dengan pemegang watak Hermione Granger iaitu aktres Emma Watson dan Rupert Grint, yang memainkan watak Ron Weasley untuk hadir ke majlis tayangan perdana nanti.

Ketiga-tiga mereka telah menjadi jutawan hanya dengan berlakon dalam siri filem berkenaan tetapi kini terpaksa berhadapan dengan realiti dan cabaran bagaimana hendak keluar daripada kepompong Harry Potter untuk memainkan watak dan karakter lain di luar dunia Hogwarts School of Witchcraft and Wizardry.

Filem terakhir ini juga akan mencatat sejarah sebagai filem pertama Harry Porter yang akan ditayangkan dalam bentuk 3D.

Filem pertama Harry Potter ditayangkan pada tahun 2001 iaitu lebih kurang empat tahun selepas Rowling menerbitkan buku pertamanya itu.

Para peminat tegar Harry Potter telah menunggu dengan penuh debaran dan sabar bagaimanakah adegan dalam filem ini akan berakhir selepas bahagian pertama filem terakhir ini dimainkan November tahun lepas.

Bahagian kedua meliputi suku terakhir buku berkenaan dan dijanjikan dengan adegan penuh pengembaraan, suspens tetapi pantas - tidak sepertimana dalam bahagian pertama yang agak lembap.

Filem terakhir ini terus diarahkan oleh David Yates, yang sebelum ini telah mengarah tiga daripada tujuh filem Harry Potter.

Rakaman untuk kedua-dua filem terakhir - Bahagian Pertama dan Kedua selesai pada Jun 2010.

Apabila Rowling, seorang ibu tunggal yang sedang bergelut dengan kehidupan sehariannya menerbitkan siri pertama berjudul "Harry Potter and the Philosopher's Stone" pada tahun 1997, beliau tidak sedikit pun menyangka yang beliau akan menggegarkan dunia dengan dunia fantasi rekaannya itu.

Bagaimanapun, akhirnya, Rowling telah menjual lebih dari 400 juta naskhah buku Harry Potter di seluruh dunia termasuk diterjemahkan ke dalam 69 bahasa asing.

Malah penerbit siri filem berkenaan, David Heyman sendiri berkata, ketika mereka mula-mula menerbitkan siri pertama, tidak ada siapa pun yang menjangkakan filem ini bakal menjadi hit di seluruh dunia. Ia adalah fenomena luar biasa.

Kesemua pemegang peranan utama dalam filem berkenaan turut mencipta kejayaan luar biasa termasuklah menjadi kaya raya hanya dengan melakonkan watak yang sama tujuh kali.

Radcliffe, 21, telah menerima bayaran sehingga AS$42 juta (RM126 juta) menerusi kesemua lakonannya sebagai Potter manakala Emma Watson,21, pula AS$22 juta (RM66) dan Grint, 22, menerima 20 juta (RM60), demikian menurut akhbar The Sunday Times.

Manakala bagi Rowling pula, selepas menamatkan babak terakhir siri itu pada tahun 2007, dia masih belum mencipta sesuatu yang luar biasa lagi.

Namun begitu, Rowling seperti tidak dapat melepas pergi watak-watak dalam siri tersebut. Ini kerana pada bulan lalu, Rowling telah memuat naikkan dalam laman web tentang sesuatu yang baru dan ramai melihat ia ada kaitan dengan dunia Potter.

Kekayaan terkumpulnya dianggarkan kini berjumlah AS$530 juta (RM1.5 bilion) - menjadikannya penulis novel terkaya dalam sejarah mana-mana penerbitan fiksyen.

Kongsi Cerita Ini Bersama Rakan

2 comments

Post a Comment

Kindly Leave Your Comment Here..=)

Labels

TERKINI (175) ARTIS (116) TIPS BERGUNA UNTUK ANDA (85) DEDAH (74) FACT (71) DIARY (69) politik (69) INFO (66) Video (65) BERITA SUKAN (63) GOSIP TERKINI (44) HIBURAN (44) RENUNGAN (38) DESIGN (35) BLOG REVIEW (33) PRODUCT REVIEW (32) PENDIDIKAN (29) PANDUAN (28) tutorial (27) MAKLUMAN (26) TIPS BLOGGING (21) EVENT (20) Gadget (17) AGAMA (15) PERMOHONAN (15) HEADER DESIGN (12) CINTA (11) STATISTIK BLOG (6) SITEMAP (1)