SHAH ALAM, 18 Okt — Seorang buruh binaan warga Indonesia maut, empat lagi cedera dan tiga lagi masih terperangkap dalam runtuhan sebuah rumah banglo yang sedang diubahsuai di Seksyen 7 di sini, petang tadi.
Daripada empat yang cedera seorang daripadanya dikatakan terputus kaki dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Kejadian berlaku di Jalan JED, 7/5, Seksyen 7, berhadapan dengan Kolej Kediaman Jati, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang tinggal berhadapan dengan banglo tersebut, beliau terdengar satu dentuman kuat kira-kira pukul 4.20 petang ketika beliau sedang membaca surat khabar.
“Ketika saya sedang membaca itu, tiba-tiba saya terdengar satu bunyi yang begitu kuat.
“Bila buka tingkap untuk melihat saya ternampak scaffolding goyang, tumbang. Bila saya berlari keluar saya ternampak semua bahagian yang diubahsuai itu runtuh, tiada lagi di situ,” kata Abdul Aziz ketika ditemui oleh The Malaysian Insider sebentar tadi.
Menurut seorang pemuda yang melihat usaha-usaha menyelamat di tempat kejadian, seorang lagi mangsa yang terperangkap telah berjaya dikeluarkan lebih kurang pukul 10.30 malam tadi dan telah dikejarkan ke hospital yang sama.
Tinjauan The Malaysian Insider di tempat kejadian mendapati pihak bomba, polis, MBSA dan lain-lain lagi masih menjalankan usaha-usaha untuk menyelamatkan dua lagi mangsa yang masih terperangkap.
No comments:
Post a Comment
Kindly Leave Your Comment Here..=)