SUATU ketika dulu, gadis lincah ini pernah terpalit dengan kontroversi sebagai pelakon seksi di awal pembabitannya dalam dunia seni.
Kini si cantik manis Diana Amir melakukan penghijrahan terbesar dalam hidupnya dengan mengucapkan selamat tinggal kepada imej berkenaan.
Semakin matang dan dewasa menempuhi kehidupan sebagai seorang artis menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berubah ke arah yang lebih baik sesuai dengan peningkatan usianya.
Pemilik nama sebenar Nurdiyana Amir Hashim yang mula mencipta nama menerusi drama bersiri Impian bergandingan dengan Wardina melakukan perubahan mengejut apabila mula memakai hijab sepenuhnya bermula pada bulan lalu tanpa memaklumkan kepada sesiapa termasuk ibu bapanya. Apa yang pasti, Diana nekad menutup aurat.
Bukan mudah gadis kelahiran Johor Bahru ini membuat perubahan besar seperti itu, tetapi apabila membayangkan masa kiamat nanti Diana tanpa menunggu lebih lama melakukan perubahan itu.
Mengambil masa selama empat bulan, Diana mengenakan tudung secara berperingkat bagi membiasakan dirinya dengan keadaan baru.
Kini gadis berusia 25 tahun itu tidak kisah sama ada peminat atau masyarakat di luar mengatakan dia lebih cantik jika tidak bertudung kerana baginya hijab bukan hanya di kepala, tetapi juga di hati.
Diana lebih selesa dengan penampilan terbarunya kerana merasakan dirinya lebih terjaga daripada pandangan umum.
Mungkin sesetengah individu menganggap Diana bertudung hanya sebagai gimik untuk filem 7 Petala Cinta kerana buat pertama kalinya dia memegang watak dengan karakter bertudung labuh.
Namun, realitinya ia adalah imej yang akan dikekalkan Diana sehingga ke akhir hayat.
Yakin dengan keputusan itu, Diana cuba memenuhi tuntutan sebagai Muslimah iaitu hukum wajib bagi seorang wanita Islam memakai tudung.
“Saya mengambil masa selama empat bulan melatih diri sebelum memakai tudung sepenuhnya.
“Pada mulanya saya memakai tudung untuk beberapa hari kemudian kembali ke imej lama iaitu ‘free hair’ apatah lagi apabila saya memenuhi tuntutan watak dalam lakonan. Apabila melakonkan watak dalam 7 Petala Cinta, saya terbiasa dengan hijab di kepala lalu selama beberapa minggu apabila keluar dari rumah saya mengenakan tudung, tetapi saya akui pada ketika itu saya masih belum cukup kuat lalu kembali tidak bertudung.
“Sebenarnya, niat untuk bertudung ini sudah lama namun mungkin sebab azab bukan
di depan mata maka niat untuk bertudung ini ditangguhkan.
“Tetapi, sejak beberapa bulan lalu, apabila saya seorang diri, selalu terbayang azab di hari kiamat. Sekarang ini kita ada kawan dan keluarga yang selalu bersama-sama dengan kita namun bila di akhirat kita tidak ada siapa-siapa,” katanya.
Mempunyai keluarga angkat di Shah Alam, Diana menyifatkan mereka golongan yang warak.
Sebagai seorang Muslimah, dia segan sendiri apabila bertandang ke rumah itu kerana menyedari tanggungjawab sebagai seorang Islam namun tidak menunaikan�nya.
Mencari ruang untuk melawat keluarga angkatnya ketika bulan Ramadan yang lalu, Diana berkata sepanjang berada di rumah itu, dia menutup aurat sebagaimana yang dituntut agama.
Semuanya bermula apabila pada hari raya ketiga, Diana berkesempatan berjumpa dengan temannya yang terlebih dulu sudah memakai hijab.
Berkongsi perjalanan hidupnya, pada malam itu Diana menilai dirinya dan merenung masa akhiratnya.
“Kenapa mesti berdegil sedangkan dalam al-Quran sendiri sudah menjelaskan mengenai perihal bertudung.
“Jadi, tidak ada alasan lagi kenapa saya menangguhkan perkara yang baik.
“Apabila sudah menutup aurat, semuanya terjaga. Dari segi percakapan, perlakuan, pergaulan dan pemakaian, semua perlu dilakukan seimbang dengan imej bertudung kerana saya tidak mahu dikatakan bertudung hanya kerana terikut-ikut,” katanya.
Apabila dilihat industri seni pada masa kini, fenomena artis bertudung seakan-akan menjadi ikutan. Bermula dengan Irma Hasmie, kemudian Raja Farah dan kini anak keempat daripada tujuh beradik ini.
Tidak kisah dengan rezeki selepas bertudung, Diana berkata dia percaya sekiranya rezekinya, maka ia akan datang tanpa dicari.
Selepas ini, dia akan lebih berhati-hati ketika memilih watak yang sesuai dengan imej bertudungnya.
Tidak menafikan pelakon yang tidak bertudung mungkin menjadi pilihan kerana boleh membawakan pelbagai peranan, tetapi Diana lebih takutkan akhirat berbanding tawaran berlakon.
Diana yang merancang untuk memasuki kelas usrah menjelaskan selagi dia tidak berkahwin, dosa yang dilakukan ditanggung oleh ayahnya.
Tidak mahu kejam dengan orang tuanya, dia turut menambah bahawa ayahnya selalu mendoakan yang terbaik untuknya maka tidak ada sebab bagi Diana membiarkan dosanya diletakkan atas bahu insan yang disayanginya.
Tidak berniat untuk memberitahu peminat berita penghijrahannya, Diana mahu benar-benar selesa dengan imej baru dan yakini terlebih dulu sebelum uar-uarkan perubahan itu. Namun, peminat lebih dulu menghidu perkara baik itu dan Diana tidak mempunyai pilihan lain selain mengiyakan perkara terbabit.
Menafikan perubahan itu disebabkan oleh kekasih hati, Diana menjelaskan setakat ini hatinya masih belum dimiliki dan keputusan untuk bertudung adalah disebabkan diri sendiri dan bukan berpunca dari orang lain. Keluarganya juga hanya mengetahui Diana sudah bertudung selepas beberapa hari dia menutup aurat.
Bercakap mengenai filem 7 Petala Cinta, Diana memegang watak sebagai Hilma Aqila iaitu penuntut madrasah. Hilma sanggup berkorban untuk kebahagiaan orang lain walaupun ia amat menyakitkan dirinya. Dia mencintai seseorang namun sanggup melepaskan lelaki itu demi kegembiraan insan lain.
Diana yang bernaung di bawah MIG Production Sdn Bhd merasakan keputusan yang dilakukannya itu tepat. Setakat ini masih ada lima filem yang bakal ditayangkan di pawagam - antaranya ialah Keramat, 7 Petala Cinta dan X.
Menurut Diana, 7 Petala Cinta adalah lakonannya yang pertama dia memakai tudung labuh manakala X adalah filem terakhir lakonannya sebelum dia berhijab.
artikel berkaitan : Diana Amir Bertudung VS Fyda Tak Bertudung : Siapa Lagi Ok??
Baca lagi...
ReplyDeletehttp://whoamieitismei.blogspot.com/2011/11/tudung.html