Pelakon dan pelawak terkenal , juga bekas Presiden Seniman , Harun Salim Bachik meninggal dunia jam 5 petang , 8 Mac 2015. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hentian Rehat (R&R) Bukit Merah selepas rebah di tandas awam hentian berkenaan.
Mengesahkan berita tersebut, rakannya, Afdlin Shauki berkata, kejadian berlaku sewaktu Allahyarham sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur. “Innalillah.. Tolong doakan dan sedekahkan al-fatihah untuk sahabat saya yang telah pulang ke rahmatullah. Dia bukan saja kawan baik, berbakat tetapi sangat baik orangnya dan meninggalkan keluarganya yang tersayang.
“Semoga ALLAH SWT meletakkan beliau bersama roh orang-orang yang baik... Assalammualaikum abangku,” katanya seperti yang dipetik menerusi Facebooknya. Menurut Afdlin lagi, ketika kejadian, Allahyarham turut ditemani anaknya. Jenazahnya bakal dikebumikan di kediamannya di Desa Pandan, Kuala Lumpur.